Pages

Friday, 12 July 2013

Ramadhan Datang Lagi

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila tiba bulan Rejab Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud:
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)


Alhamdulillah, kita masih lagi diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini. Ramadhan kali ini InsyaAllah menjadi ramadhan terakhir yang aku sambut dengan status bujang. Tahun depan InsyaAllah akan sambut bersama isteriku. Dalam waktu bersendiri ini, aku ingin mengambil peluang mendekatkan diri kepada Allah.

Aku ingin mengajak kalian semua melaksanakan ibadah sebanyak yang mampu, dan memanfaatkan kelebihan yang diturunkan dalam bulan istimewa ini. Antara ibadah yang sinonim dengan bulan ini adalah berpuasa, khatam al-Quran, solat terawih & bersedekah.



Entry kali ini aku nak kongsikan beberapa kelebihan bulan ini berbanding bulan-bulan lain supaya kita lebih bersemangat untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintahNya. Ia juga bertepatan dengan khutbah jumaat yang pernah aku dengar sebelum ini, yang menggalakkan supaya kelebihan bulan Ramadhan ini diwar-warkan supaya dapat memberi ransangan dan semangat dalam mengharungi bulan ini.

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).

"Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" (Surah al-Baqarah : 183)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila masuknya bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, tertutuplah pintu-pintu neraka, dan dirantailah syaitan-syaitan.”(Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: 

“Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelar ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk kedalamnya seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: ‘Siapakah orang yang berpuasa?’ Lalu orang yang berpuasa pun bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain dari mereka. Apabila mereka semua telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang.” (Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Abbas RA menceritakan:

“Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau  bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” 
(Riwayat al-Bukhari)

Rasullullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (Riwayat Bukhari)





No comments:

Post a Comment