Pages

Thursday, 15 August 2013

Setiap Hari Yang Unik

Seorang kenalan lama menelefon aku hari ni:
“kenapalah bosan sangat hidup aku ni, hari-hari kena buat rutin harian yang sama! Bangun tidur, kerja, balik kerja, tidur…bla..bla..bla..Kadang-kadang aku rasa hidup aku ni kosong, static je. Bukan setakat tak menyumbang untuk orang lain, untuk aku sendiri pun takde kemajuan...” Luahnya.




Aku kemudiannya berseloroh: 
“Ops, nanti dulu.. Jangan terus salahkan persekitaran. Aku tahu perasaan tu, tapi apakata kau luaskan horizon pandangan kau..bla..bla..bla…”

Macam ni, pada pendapat aku, mereka yang merasakan bosan dengan rutin harian yang sama adalah mereka yang hanya melihat kehidupan dari ruang pandang yang umum dan menyeluruh, tidak secara mendalam dan terperinci. Dan kalau terperinci sekalipun, tidak dikaitkan dengan kehidupan sendiri.

Kehidupan adalah suatu perjalanan yang tidak mungkin tamat sebelum tibanya kematian. Proses kehidupan itu adalah seni. Justeru, walaupun perjalanan itu tampak sama setiap hari, namun ia sebenarnya adalah unik. Pasti ada jua bezanya, walaupun sedikit. Perbezaan sedikit inilah sekiranya diberi tumpuan, akan memberi kesan besar kepada rentak kehidupan kita. Ia mampu menceriakan wajah kehidupan kita yang mungkin telah suram. Caranya mudah, ubah cara pandang kita, atau istilah yang lebih tepat: 
Ubah cara berfikir kita!

Sekadar gambar hiasan

Cara berfikir yang aku maksudkan di sini adalah reflective thinking, iaitu kita kaitkan apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar dari persekitaran kita dengan hidup kita, samada ia mengimbau kembali kenangan kita atau ia dijadikan inspirasi mahupun tauladan buat kita. Malah, pemikiran sebegini akan meningkatkan lagi daya pemikiran kita, kerana kita bukan sahaja menilai perkara yang berlaku di sekeliling kita dari sudut tersurat, malah mengkaji atau membuat andaian dari perspektif yang tersirat.

Sebagai contoh, setiap hari kita melalui jalan yang sama untuk pergi dan balik kerja. Perjalanan pula mungkin mengambil masa lebih dari 15 minit dan kita rasakan rutin harian sebegitu adalah membosankan. Cuba kita amalkan cara pemikiran bersifat reflective thinking, nescaya kita akan jadi orang yang lebih prihatin terhadap sekeliling kita. Kita akan sedar beberapa peristiwa / keadaan yang berlaku sepanjang perjalanan hari tersebut tidak sama dengan peristiwa / keadaan hari semalam.  Dan dari situlah kita olah keadaan itu dan kaitkan dengan hidup kita samada sesuai untuk dijadikan pengajaran atau motivasi.

Tu baru sewaktu dalam perjalanan, belum lagi masuk aktiviti semasa bekerja. Aku yakin, pasti ada keunikan setiap hari-hari yang dilalui.

Ia mungkin agak complicated, tapi hasilnya sangat memberansangkan. Inilah yang dinamakan seni berfikir. Malah, menurut pakar motivasi, reflective thinking adalah salah satu cara pemikiran yang diamalkan oleh orang yang telah berjaya dalam kehidupannya.

Akhir kata, sentiasalah kita berusaha agar hari ini lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini. Semoga dengan cara pemikiran sebegini akan membuatkan hidup kita menjadi lebih indah kerana wujud kesinambungan yang dinamik dalam rentetan aktiviti harian kita.

Wallahu ‘Alam~

MFA
42000 PK


No comments:

Post a Comment