Pages

Monday, 8 April 2013

Membina Perhubungan (Rapport)


Membina perhubungan adalah satu kemahiran yang penting hari ini. Ia membolehkan kita untuk bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja, menetapkan asas yang kukuh dalam sektor perkhidmatan, membuatkan pelanggan selesa dengan kita, dan menjamin kemajuan peribadi kita dalam sesebuah organisasi.

Berikut adalah 10 tips bagi membina hubungan dengan orang lain.


 
1. Buka hati anda

10 tips ini tidak akan berguna sekiranya anda tidak benar-benar ikhlas dalam memberi khidmat atau bakti kepada orang lain. Ini bermakna anda perlu mulakan perhubungan dari hati, dan bukannya otak.

2. Mula dengan perbualan santai yang menyenangkan

Memilih topik perbualan yang santai adalah cara yang baik untuk memulakan perbualan dengan seseorang yang anda tidak kenal. Ia membolehkan anda untuk membina tapak asas perhubungan yang selamat. 

3. Gunakan sentuhan lucu

Apabila anda menyuntik sedikit jenaka yang sesuai ke dalam perbualan, ia menceriakan suasana dan memberi anda permulaan hubungan dengan orang lain.

4. Mendengar dengan teliti

Salah satu perkara penting dalam 10 tips ini dalam membina perhubungan adalah dengan cara mendengar dengan teliti kepada orang lain supaya anda mengetahui bukan sahaja maklumat asas yang disuarakan, malah dapat memahami perasaan, kebimbangan dan isu-isu yang dibangkitkan.

5. Cari sesuatu yang sama

Carilah persamaan antara anda dengan rakan baru anda itu. Ia boleh jadi apa sahaja samada hobi, latar belakang pendidikan, kawasan tempat tinggal anda, dan lain-lain.

6. Bergerak seiringan

Ia bermakna anda perlu bergerak pada kelajuan, rentak dan irama yang sama dengan rakan baru anda. Selain itu, anda boleh berinteraksi dengan nada yang sama dan mengulangi bahasa badan yang digunakan. T
etapi AWAS, jangan sampai mereka menjangkakan anda mengajuk tindakan mereka.

7. Menunjukkan empati

Empati bermakna menunjukkan anda memahami apa yang orang lain rasa. Perasaan empati ini akan melenyapkan rasa keseorangan dalam diri mereka dan ini akan mewujudkan asas yang kuat dalam membina perhubungan.

8. Menyebut nama mereka

Apabila anda menggunakan nama seseorang dalam perbualan, anda dengan serta-merta membuat ikatan yang lebih akrab dengan mereka.

9. Menilai sesuatu isu dari pandangan dua belah pihak

Jika anda sedang membina hubungan baik dengan seseorang buat kali pertama dan terdapat isu-isu yang perlu diselesaikan, anda perlu menilai sesuatu isu dengan melihat kepada kedua-dua belah pihak, supaya tidak timbul 'membodek' dan menuduh sembarangan.
10. Perhubungan tanpa syarat

Ingat, anda tidak boleh membuat hubungan palsu dalam mana-mana perhubungan. Sesebuah perhubungan perlu dimulakan dengan perasaan yang ikhlas dan dapat menerima diri mereka seadanya.

No comments:

Post a Comment