Pages

Tuesday, 30 July 2013

Menghubungkan ayat dan surah

22 Ramadhan 1434H @ 31 Julai 2013 (Rabu, 06:00 am) Ini lah waktunya, permulaan projek terbaru aku.

Semasa sedang membaca al-Quran pagi itu, aku tertanya-tanya maksud ayat yang dibaca. Lalu aku mencari terjemahannya. Lantas aku tertanya-tanya pula makna terjemahan itu, kemudian aku mencari kitab tafsir untuk mengetahui cerita penuh disebalik ayat tersebut. Perasaan ingin tahu ini kemudiannya terus bercambah. Aku ingin mengetahui dan memahami keseluruhan isi kandungan al-Quran! 





“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-Alaq: Ayat 1-5)

A friend of mine said, "tak perlu kaji sedalam tu.. cukuplah dengan mengetahui Al-Quran itu adalah peringatan dari Pencipta untuk makhluk ciptaanNya". 

Aku berfikir sejenak..dan aku menafikannya. Tak! Ia lebih dari sekadar itu..Sebagaimana yang pernah aku belajar sebelum ni, kitab Al-Quran adalah sebuah kitab yang lengkap. Ia mengandungi kisah-kisah umat terdahulu (sebagai peringatan, amaran, peraturan, petunjuk, teladan), kisah penciptaan alam (binatang, planet, dll) (sebagai inspirasi kita dalam meneruskan kehidupan), doa (sebagai penawar kepada penyakit), rahmat dan lain-lain keistimewaan.


"Sesungguhnya Al-Quran ini memberi pertunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar"
(Al-Isra: Ayat 9)


“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Al-Isra: Ayat 82)


“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”  
(Al-Baqarah: Ayat 185)

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)"
(Al-An’am: Ayat 38)

Aku amat yakin al-Quran ada di setiap rumah orang Islam. Persoalannya, adakah al-Quran itu sekadar disimpan atau disusun rapi? Atau adakah ia dibaca? dan kalau ia dibaca sekalipun, adakah kita faham terhadap apa yang dibaca itu dan mengambil iktibar dari firman Allah tersebut? Aku sendiri selama ini termasuk dalam kalangan orang yang membaca al-Quran tetapi hanya memahami sangat sedikit dari keseluruhan Al-Quran itu.


Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
(Al-Furqan: Ayat 30)

Aku mengetahui bahawa dengan menyebut satu huruf dari al-Quran sahaja pun (walaupun tidak memahami maksudnya) sudah mendapat ganjaran dari Allah. 


"Kamu mungkin tidak mengerti dan tak memahami atau ingat segalanya berkenaan kandungan Al-Quran, tetapi apabila kamu membacanya, tanpa kamu sedar kamu akan berubah, luar dan dalam. Itu adalah kerja Allah dalam kehidupan kita"
(Unknown)

“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Namun, aku mahu lebih dari itu. Aku mahu faham keseluruhan al-Quran!

Teringat aku akan buku-buku dirumahku yang agak banyak, dan setiap kali aku membaca buku-buku tersebut, aku akan cuba memahami apa yang disampaikan dalam buku-buku itu. Tetapi mengapa tidak al-Quran? Sesungguhnya, al-Quran itulah yang lebih agung dari buku-buku lain, memandangkan ia adalah kalam Allah!

Aku nekad untuk berusaha untuk mewujudkan indeks bagi keseluruhan isi kandungan al-Quran ini. Aku tahu, usaha ini bukan mudah. Bukan sedikit masa yang diperlukan untuk menghubungkaitkan 114 surah yang keseluruhannya berjumlah 6236 ayat. Mungkinkah masa yang diluangkan untuk projek ini nanti akan dikira sia-sia di sisi Allah? Aku tak pasti tentang itu. Itu adalah hak Allah. Aku sebagai hambaNya hanya boleh berdoa dan berharap agar usaha ini beroleh manfaat dari Allah s.w.t. 

Yang pasti, biar berapa lama sekalipun masa yang diperlukan (biarpun seumur hidupku) untuk melengkapkan keseluruhan hubungkait 6236 ayat-ayat ini, aku akan tetap berusaha untuk melengkapnya, supaya aku tahu dan faham keseluruhan isi kandungan Kitab Suci ini, agar aku boleh memanfaatkan ilmu yang diperoleh darinya untuk meneruskan kehidupanku supaya sentiasa mematuhi kehendakNya. 


Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
(Al-Hijr’: Ayat 9)


Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi Nya.

~Wallahu A'lam~

1 comment:

  1. bacalah miracle 22 in 1..=)
    Allah takkan mensia-siakan usaha kita untuk memahami Al-Quran..
    let's start now,together! =)

    ReplyDelete