Pages

Saturday, 13 April 2013

Kaitan coklat dengan daya ingatan

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Experimental Biology, terdapat bahan kimia (flavonoids) dalam biji koko yang boleh memberi kesan terhadap tahap ingatan kita. Saintis dari Hotchkiss Brain Insitute di Calgary mengatakan flavonoid yang mempunyai ikatan (-)-epicatechin (atau epi ringkasnya) mempunyai kesan kepada pembentukan memori jangka panjang.

Epi yang terdapat dalam biji koko, teh hijau, beri biru, dan wain merah, adalah fitokimia berasaskan tumbuhan yang dapat dikaitkan dengan ingatan dan prestasi neural (neural performance) yang terdapat dalam otak kita.

Gambar oleh Katie Napper

Penyelidikan dari banyak makmal telah mendapati bahawa epi boleh memainkan peranan dalam pertumbuhan semula neuron dan membantu melindungi beberapa jenis kematian neuron. Malah, menurut kajian terbaru 2012, ia dapat meningkatkan daya ingatan jangka panjang.

Kesimpulannya, coklat dan lain-lain makanan yang kaya dengan epi boleh memberi ingatan anda rangsangan. Tapi jangan lupa juga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang boleh menjana tahap ingatan kita seperti bermain permainan minda (contoh: sudoku, word puzzle, dll).

Monday, 8 April 2013

6 Rahsia Kebahagiaan Dalam Hubungan Rumahtangga


Bukan mudah untuk mengekalkan sesuatu kebahagian di dalam rumah tangga. Ini kerana ia melibatkan tentang dua perasaan, yang memerlukan pengorbanan yang banyak untuk membahagiakan diri sendiri dan juga orang yang berada disisi. Jadi, apakah rahsia untuk hubungan yang telah terjalin berpuluh-puluh tahun lamanya untuk kekal bahagia?



(1)  Kejujuran- Faktor ini adalah merupakan aspek penting di dalam sesuatu kebahagiaan hubungan rumah tangga. Pada kebiasaannya, pasangan yang berasa teraniaya atau dianiaya akan menyimpan dendam dalam setiap penipuan yang telah dilakukan. Masalah ini akan berbalas-balas sehingga menjadi punca keretakan didalam sesuatu hubungan.


(2) Hormat- Semua manusia yang hidup di muka bumi ini suka apabila diri mereka dihormati. Begitu juga dalam hubungan rumah tangga, suami menghormati isteri, dan isteri pula menghormati suami. Selagi perasaan hormat-menghormati ini menebal dalam diri, pasti tiada masalah untuk sesuatu pasangan untuk mengekalkan kebahagiaan mereka.


(3) Cinta- Apabila menyebut soal cinta, ia adalah satu perkara yang subjektif yang sukar untuk diterjemahkan. Cinta juga mungkin boleh disamaertikan dengan pengorbanan. Sekiranya anda betul-betul mencintai pasangan, sudah pasti anda akan sanggup untuk berkorban demi kebahagiaan mereka. Kebahagian yang pasangan anda miliki pula akan menjadi kebahagian untuk diri anda.


(4) Sabar- Sifat pemarah adalah merupakan faktor utama yang menjadi punca dalam keretakan sesuatu hubungan. Anda perlu belajar untuk bersabar. Lakukan sesuatu dengan pertimbangan yang waras dan bukannya apabila dipengaruhi oleh emosi.


(5) Komunikasi- Pasti anda semua menyetujui jika kami menyatakan bahawa lebih banyak mendengar adalah lebih baik berbanding lebih banyak bercakap. Berikan sepenuh perhatian apabila pasangan anda meluahkan perasaan untuk mereka merasakan diri mereka dihargai. Seseorang yang merasakan diri mereka dihargai akan tahu untuk menghargai orang lain.


(6) Memahami- Apabila isteri anda seorang yang pemarah, anda perlu banyak bersabar. Bukannya anda juga turut serta untuk berasa marah. Apabila anda sudah memahami pasangan anda, ia juga bermakna anda akan mampu untuk bertolak ansur terhadap pasangan dalam apa jua situasi sekalipun. Tolak ansur juga penting dalam kebahagiaan rumah tangga.

Membina Perhubungan (Rapport)


Membina perhubungan adalah satu kemahiran yang penting hari ini. Ia membolehkan kita untuk bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja, menetapkan asas yang kukuh dalam sektor perkhidmatan, membuatkan pelanggan selesa dengan kita, dan menjamin kemajuan peribadi kita dalam sesebuah organisasi.

Berikut adalah 10 tips bagi membina hubungan dengan orang lain.


 
1. Buka hati anda

10 tips ini tidak akan berguna sekiranya anda tidak benar-benar ikhlas dalam memberi khidmat atau bakti kepada orang lain. Ini bermakna anda perlu mulakan perhubungan dari hati, dan bukannya otak.

2. Mula dengan perbualan santai yang menyenangkan

Memilih topik perbualan yang santai adalah cara yang baik untuk memulakan perbualan dengan seseorang yang anda tidak kenal. Ia membolehkan anda untuk membina tapak asas perhubungan yang selamat. 

3. Gunakan sentuhan lucu

Apabila anda menyuntik sedikit jenaka yang sesuai ke dalam perbualan, ia menceriakan suasana dan memberi anda permulaan hubungan dengan orang lain.

4. Mendengar dengan teliti

Salah satu perkara penting dalam 10 tips ini dalam membina perhubungan adalah dengan cara mendengar dengan teliti kepada orang lain supaya anda mengetahui bukan sahaja maklumat asas yang disuarakan, malah dapat memahami perasaan, kebimbangan dan isu-isu yang dibangkitkan.

5. Cari sesuatu yang sama

Carilah persamaan antara anda dengan rakan baru anda itu. Ia boleh jadi apa sahaja samada hobi, latar belakang pendidikan, kawasan tempat tinggal anda, dan lain-lain.

6. Bergerak seiringan

Ia bermakna anda perlu bergerak pada kelajuan, rentak dan irama yang sama dengan rakan baru anda. Selain itu, anda boleh berinteraksi dengan nada yang sama dan mengulangi bahasa badan yang digunakan. T
etapi AWAS, jangan sampai mereka menjangkakan anda mengajuk tindakan mereka.

7. Menunjukkan empati

Empati bermakna menunjukkan anda memahami apa yang orang lain rasa. Perasaan empati ini akan melenyapkan rasa keseorangan dalam diri mereka dan ini akan mewujudkan asas yang kuat dalam membina perhubungan.

8. Menyebut nama mereka

Apabila anda menggunakan nama seseorang dalam perbualan, anda dengan serta-merta membuat ikatan yang lebih akrab dengan mereka.

9. Menilai sesuatu isu dari pandangan dua belah pihak

Jika anda sedang membina hubungan baik dengan seseorang buat kali pertama dan terdapat isu-isu yang perlu diselesaikan, anda perlu menilai sesuatu isu dengan melihat kepada kedua-dua belah pihak, supaya tidak timbul 'membodek' dan menuduh sembarangan.
10. Perhubungan tanpa syarat

Ingat, anda tidak boleh membuat hubungan palsu dalam mana-mana perhubungan. Sesebuah perhubungan perlu dimulakan dengan perasaan yang ikhlas dan dapat menerima diri mereka seadanya.